klik sini

Friday, August 19, 2011

..KEPENTINGAN AKIDAH..

KEPENTINGAN AKIDAH

Malaysia kini, kanak-kanak yang berusia seawal empat tahun sudah dihantar ke pusat pengajian samada Tabika Kemas, Pasti atau Prasekolah. Ketika proses perkembangan minda ketika usia ini, kanak-kanak mudah memahami dan cepat menghafal perkara-perkara baru yang diajar. Justeru itu, penting bagi seseorang guru untuk membimbing pemikiran atau lebih khusus akidah murid pada peringkat perkembangan awal sekolah rendah.

Mengimbau kembali sejarah kegemilangan Islam suatu masa dahulu. Betapa hebatnya Islam menguasai seluruh pelusuk dunia dengan ajaran yang benar dan melengkapi seluruh aspek kehidupan. Daripada segi ekonomi, kemajuan, politik, dan sebagainya Islam memuncak sebagai satu kuasa besar yang kukuh. Dua pertiga dua ditakluk dengan jayanya, ajaran Islam menyeluruh dan menjadi bualan pada bibir kawan mahupun lawan. Namun, bukan itu yang harus direncana dengan gah pada muka ini. Namun lihatlah pada pembinaan dasar yang dilakukan oleh utusan Allah, Nabi Muhammad s.a.w. Pembangunan akidah ini bermula sejak kebangkitan Nabi Muhammad s.a.w di Mekah lagi. Kebangkitan dakwah Nabi Muhammad s.a.w. bermula secara rahsia di rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam. Pada masa tersebut, belum ramai yang mahu mengakui kebenaran yang disampaikan Nabi Muhammad s.a.w. walaupun seluruh Mekah mengenali Nabi Muhammad s.a.w sebagai Al-Amin iaitu bercakap benar. Baginda membentuk akidah para sahabat dan pengikut pada masa tersebut hingga kekuatan akidah tidak mudah dilentur dengan mata pedang sekalipun. Dapat dilihat dengan jelas apabila akidah Bilal bin Rabah diuji dengan seksaan oleh tuannya. Namun, hasil usaha keras yang diusahakan oleh Nabi Muhammad s.a.w, perkataan “Ahad” sentiasa di bibir hingga tamat riwayat Bilal bin Rabah. Begitulah betapa kuatnya pegangan akidah yang dibina pada dasar yang sempurna dan ikhlas.

Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Itulah yang dikatakan oleh pepatah melayu. Bayangkanlah buluh yang keras dapat dilentur daripada rebungya, apatah lagi anak-anak kecil yang masih tidak mengerti apa-apa dapat diserapkan dengan akidah yang mantap dengan mudah. Anak-anak kecil mudah menerima sebarang ilmu baru yang diberi kepada mereka dengan mudah. Sehubungan dengan itu, haruslah mereka dididik dengan akidah yang tepat dan tidak terpesong. Hal ini demikian kerana, betapa ramainya remaja sekarang yang menjadi liar dan tidak mengikut haluan Islam yang sebenarnya kerana tidak dididik dengan akidah yang betul ketika masih kecil lagi. Oleh itu, peranan ibu bapa dan guru amat penting bagi membimbing anak-anak kecil ini dengan akidah yang betul.

Jika dilihat masyarakat pada ketika kini, mereka kurang jelas mengenai bimbingan untuk mendekatkan diri kepada Allah. Mereka masih mencari-cari pegangan untuk memenuhi fitrahnya yang mahukan pegangan hidup. Demikian juga kepentingan akidah kepada peribadi muslim adalah menyerah diri kepada Allah. Penyerahan diri kepada Allah bukan sahaja meliputi dari aspek lahiriah bahkan batiniah. Ditambah pula dengan perjanjian kita semua di alam roh bahawa akan beriman dengan Allah s.w.t. Pemikiran dan jasad semua bertumpu kepada amalan kepada Allah dan tidak disandarkan kepada sesuatu yang lain. Sejarah menunjukkan betapa manusia memerlukan bimbingan dan fitrah untuk beragama sehingga ada yang menjadikan tumbuhan, batuan, atau benda-benda hidup sebagai Tuhan yang harus disembah. Pada zaman teknologi tinggi ini sekalipun, masih terdapat sebilangan manusia yang menganut kepercayaan animisme ini. Penekanan tinggi perlu diberikan kepada murid-murid sekolah rendah agar menerima konsep akidah yang benar.

Akidah juga merupakan akar tunjang kepada pembentukan peribadi mulia dan akhlak yang luhur dalam diri murid-murid sekolah rendah. Bayangkanlah bagaimana hidup mereka tanpa akidah ataupun pegangan agama, mereka akan hidup tanpa arah tuju. Hidup menjadi sia-sia dan amalan menjadi tidak berguna. Justeru itu jelaslah bahawa tanpa akidah islam dan cahaya hidayah islam, kehidupan mereka akan menjadi kucar-kacir dan hidup mereka akan berada dalam kegelapan tanpa agama. Janganlah menjadi seperti ilmu tanpa amal adalah sia-sia, amal tanpa ilmu adalah gila. Semua pihak perlu bersepakat agar menambahkan lagi sukatan ilmu akidah dalam silibus pelajaran sekolah rendah agar akidah Islam yang menjadi akar tunjang seseorang murid akan menjadi lebih kukuh dan utuh.

Betapa pentingnya Pendidikan Akidah pada peringkat sekolah rendah kerana tanpa akidah islam manusia akan menyembah selain daripada Allah. Hal ini jelaslah bahawa setiap amalan dan ibadat anak-anak adam akan menjadi tidak berguna dan tidak akan diterima oleh Allah s.w.t. Allah s.w.t akan mengampunkan dosa setiap hamba-hambanya. Oleh itu, janganlah kita takut untuk bertaubat jika telah terpesong akidah. Bertaubatlah kepada Allah s.w.t sebelum mata terpejam, sebelum jantung berhenti berdetak, sebelum jasad hanya menjadi jasad. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun. Bersahabatlah dengan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Hal ini kerana jika kita bersahabat dengan peminum arak kita akan berbau arak, jika bersahabat dengan tukang kayu kita akan terlekat habuknya, tetapi jika kita bersahabat dengan penjual minyak wangi pasti kita akan berbau wanginya.

Dengan adanya Pendidikan Akidah Islami di sekolah rendah, manusia akan terhindar daripada kufur, syirik, dan murtad. Ketahuilah bahawa Allah s.w.t akan mengampun semua dosa sekiranya kita bertaubat. Tetapi, sebesar-besar dosa adalah syirik iaitu menyekutukan Allah dan dosa syirik tidak akan diampun oleh Allah s.w.t. Oleh itu, amalan-amalan dan kata-kata yang boleh membawa kepada syirik dan penyekutuan kepada Allah s.w.t. perlu dihindari. Betapa pentingnya akidah Islam kerana dengannya kita menerima kurniaan Allah s.w.t dan bersyukur dengan segala nikmatnya termasuk nikmat iman dan Islam. Bayangkanlah tanpa akidah Islam, murid-murid sekolah rendah yang masih lagi tercari-cari karakter dan peribadi diri ini akan mudah terpengaruh dengan gejala murtad yang kian menular dalam masyarakat hari ini. Mereka yang diibaratkan bagai kain batik yang masih kosong ini perlu decanting dengan hiasan-hiasan dan corak-corak yang baik. Jika baik corak dan hiasannya maka eloklah batik tersebut. Begitulah juga sebaliknya.

Pendidikan Akidah juga adalah sumber segala kesempurnaan. Ianya merangkumi semua ilmu yang ada di dunia ini. Ia menjadi asas kepada ilmu Akhlak, Feqah, Usuluddin, serta ilmu Sains, Matematik, Kajian Tempatan, dan sebagainya. Semua ilmu ini adalah lahir daripada ilmu akidah. Tanpa ilmu akidah manusia akan sukar untuk menerima segala ilmu lain kerana segala-galanya akan kembali kepada ilmu akidah yang menyatakan bahawa Allah s.w.t adalah pencipta sekalian alam yang kita diami ini. Jelaslah bahawa ilmu akidah terlalu penting dalam pendidikan rendah kerana menjadi asas kepada pembentukan iman mereka kerana “ Awwaluddin ma’rifatullah”. Asas kepada agama Islam adalah mengenali Allah s.w.t.

2 comments: