klik sini

Monday, July 2, 2012

Sejarah Tulisan Jawi


Sejarah Tulisan Jawi

Tulisan jawi mula berkembang di Tanah Melayu sejak kedatangan Islam pada abad 10 menerusi aktiviti perdagangan Arab yang datang berniaga di kepulauan Melayu. Perkembangan tulisan jawi di Nusantara adalah seiring dengan penyebaran agama Islam yang menjadi pegangan orang Melayu (Hashim Hj Musa, 1995). Selain menjalankan aktiviti perniagaan, peniaga Arab juga menyebarkan dakwah Islam. Antara kesan penyebaran dakwah Islamiah ialah penggunaan huruf-huruf Arab sebagai medium untuk berkomunikasi di Tanah Melayu (Hamdan Abd Rahman,1999). Tulisan yang diperkenalkan kepada penduduk Nusantara adalah huruf-huruf  Arab atau sekarang ini dikenali dengan nama tulisan Jawi. Pada abad ke sebelas hingga ke empat belas, tulisan jawi digunakan dengan meluas di seluruh Tanah Melayu dan Nusantara (Mohd Alwee Yusoff, 2005). Orang Melayu yang celik huruf pada waktu itu merupakan golongan yang celik jawi.
Berdasarkan sejarah Bahasa Melayu (Kang Yong Seock, 1990) perkataan “Jawi” (جاوي) berasal daripada bahasa Arab “Jawah” ((جاوة.Kemudian, orang Melayu menyelaraskan perkataan-perkataan Arab tersebut agar sesuai digunakan dalam Bahasa Melayu. Berdasarkan catatan Sejarah Melayu (Hashim Hj Musa, 1999) perkataan Jawi adalah diadaptasikan oleh Bahasa Melayu daripada tulisan Arab.  Kemudiannya dibuat beberapa penyelesaian dan tambahan agar kegunaan tulisan ini menjadi mantap sebagai medium asas komunikasi bertulis seperti yang kita fahami sekarang ini. Berdasarkan kata adjektif dalam Bahasa Arab, perkataan Jawah atau Jawi merujuk kepada semua bangsa dan kaum yang menjadi peribumi di Asia Tenggara malah merangkumi seluruh rumpun bangsa Melayu, Campa, Patani, Aceh, Jawa, Minangkabau, Mandailing, Sunda, Bugis, Banjar, Lombok, Filipina dan negeri-negeri lain (Mohd Alwee Yusoff, 2005).
Oleh sebab itulah, maka para ulama dari Asia Tenggara sering meletakkan nama al-Jawi sebagai gelaran, pada hujung nama mereka sekalipun mereka terdiri daripada suku bangsa berlainan seperti Syeikh Abdul Rauf al-Fansuri al-Jawi, Syeikh Abdul Samad al-Falimbani al-Jawi, Syeikh Daud al-Fatani al-Jawi dan lain-lain (Ismail Hussein, 1981). Selain itu, kata Jawi digunakan juga untuk ungkapan-ungkapan seperti bahasa Jawi, masuk Jawi dan bangsa Jawi. Sampai kini orang-orang Vietnam menamakan orang di Kepulauan Nusantara sebagai orang Jawa (Amat Juhari Moain, 1996). Istilah “tulisan Jawi” hanya dikenali di Malaysia, Singapura, Thailand Selatan dan Brunei Darussalam dan Sri Lanka (bagi rumpun Melayu). Tulisan jawi di Indonesia terkenal dengan nama “tulisan Melayu Huruf Arab” atau “tulisan Melayu Arab”.
Penggunaan jawi (atau apa sahaja istilah yang semakna dengannya) digunakan di banyak tempat di Asia Tenggara. Tulisan Jawi bukan hanya digunakan oleh orang Melayu untuk bahasa Melayu tetapi juga oleh suku-suku bangsa Melayu yang lain. Antara suku bangsa Melayu yang menggunakannya ialah Campa di Indo-China, Patani di selatan Thailand, Jawa, Banjar, Bugis, Aceh, Minangkabau, Bengkulu dan juga lain-lain (Lutfi Abas et. al, 1979). Bagi tulisan Jawa yang menggunakan huruf Arab dikenal dengan nama atau tulisan Pegon, yang sekarang ini masih dipakai atau digunakan untuk menulis kitab-kitab terutama yang digunakan di pesantren-pesantren atau pondok-pondok pengajian agama di Jawa. Contohnya ialah kitab Tafsir al-Ibriz dan al-Munjiyat bahasa Jawa (Amat Juhari Moain 1996: 18).

2.2       Tulisan Jawi Dalam Sejarah Bahasa Melayu

            Ahli Sejarah menamakan Bahasa Melayu yang dituturkan pada zaman dahulu sebagai Bahasa Melayu kuno dan perkembangan bahasa itulah yang mewujudkan bahasa Melayu. Para sarjana seperti Swift, Parkinson,  Nelson, Wilson dan lain-lain (Sidek Saniff et.al , 2007) mempercayai bahawa bahasa Melayu kuno itu sudah mempunyai huruf dan sistem tulisan sejak zaman awal pertumbuhannya (Syed Naquib Al Atas, 1990). Tulisan kuno ini, yang dipercayai seakan-akan tulisan Rencong seperti yang terdapat di Sumatera dan tulisan Kawi yang terdapat di Jawa, dikatakan berasal daripada tulisan Kampuchea purba. Tulisan itu tidak dapat kita warisi kerana bahan yang dijadikan kertas pada zaman itu tidak bertahan lama dan orang-orang dahulu kurang berminat untuk menyimpannya. Lebih-lebih lagi beberapa malapetaka sejarah seperti pembinasaan secara sengaja telah dilakukan oleh kalangan istana terhadap segala sesuatu yang berbau Hindu di peringkat awal perkembangan Islam di kepulauan ini (Hashim Hj Musa, 1999).
            Oleh sebab kewujudan huruf dan sistem tulisan bahasa Melayu pada zaman awal pertumbuhannya itu, sekadar anggapan ahli sejarah, dapat dirumuskan bahawa bahasa Melayu bukan bahasa yang penting tetapi “hanyalah merupakan satu daripada lebih kurang 200 bahasa dalam kepulauan Melayu sahaja”.  Perkembangan bahasa Melayu kuno dapat dianggap bermula pada abad ketujuh Masehi (Hashim Hj Musa, 1997). Ada empat batu bersurat tinggalan abad ini. Batu bersurat yang pertama, dijumpai di Kedukan Bukit di kaki Bukit Siguntang, bertarikh 683 Masehi; batu bersurat yang kedua dijumpai di Talang Tuwo, Palembang, bertarikh 684 Masehi; batu bersurat yang ketiga dijumpai di Karang Brahi, Jambi, bertarikh 686 Masehi; dan batu bersurat yang keempat ditemukan di Kota Kapur, Bangka, bertarikh 686 Masehi juga. Kesemua batu bersurat itu tertulis dengan huruf Pali (Pallava) iaitu huruf orang Pallava di selatan India (Hashim Hj Musa, 1992,1992). Bahasa yang terdapat pada batu-batu bersurat itu terlalu jauh berbeza daripada bahasa Melayu kini. Para sarjana menganggapnya sebagai contoh bahasa Melayu kuno. Sebuah batu bersurat lagi dijumpai di Gandasuli, Jawa Tengah. Batu bersurat itu ditulis dengan huruf Nagiri. Huruf ini berasal dari utara India dan mempunyai hubungan rapat dengan agama Buddha. Batu bersurat itu dianggap sebagai penyata “betapa jauhnya pengaruh bahasa Melayu ketika itu, sehingga sudah sampai ke tengah-tengah Pulau Jawa, satu tempat yang bahasa daerahnya amat berlainan sama sekali”.

            Batu-batu bersurat di atas memperlihatkan bahawa bahasa Melayu kuno menggunakan tulisan yang dibawa dari India. Batu bersurat bertarikh 1356 Masehi yang ditemukan di Pagar Ruyong dan Batu Bersurat (nisan) bertarikh 1380 Masehi di Minye Tujuh, Aceh, menunjukkan bahawa tulisan itu mungkin digunakan hingga abad keempat belas. Catatan pengembara Cina pula, seperti I -Tsing yang pernah singgah di Sriwijaya pada tahun 672 Masehi, serta beberapa bukti sejarah yang lain, menunjukkan wujudnya kata Melayu (Mo-lo-yu) dan luasnya penggunaan bahasa Melayu kuno sejak abad ketujuh lagi. Oleh sebab hal ini jugalah maka sarjana-sarjana kita berpendapat bahawa bahasa Melayu sudah menjadi bahasa perantaraan (lingua franca) lebih awal dari kurun ketiga belas. Profesor Ismail Husain membuat kesimpulan:
“Maka dapatlah kita anggap sebagai satu hal yang pasti, bahawa dalam abad ketujuh dan dalam abad-abad berikutnya, bahasa Melayu sudah dapat dan memang digunakan sebagai bahasa pengantar kebudayaan, sedang dalam hal-hal tertentu dipergunakan juga bahasa itu untuk keperluan sedemikian di daerah-daerah yang bukan termasuk daerah bahasa Melayu yang sebenarnya.”

Bagaimanapun, kenyataan di atas tidak menunjukkan kepada kita ketinggian bahasa Melayu ketika menggunakan huruf yang dibawa dari India itu. Batu Nisan Minye Tujuh yang bertarikh 1380 Masehi dan masih menggunakan huruf Pallava, mungkin membuktikan bahawa Bahasa Melayu sudah begitu tinggi sehingga dapat menjadi bahasa penyataan puisi yang halus” tetapi tidaklah sebanding dengan mutu bahasa pada Batu Bersurat Terengganu, yang 83 tahun lebih awal daripada Batu Nisan Minye Tujuh. Penemuan itu adalah lebih dekat dengan gaya Bahasa Melayu kini dan kemelayuan bahasanya juga jelas. Sebaliknya, gaya bahasa yang terdapat pada Batu Nisan Minye Tujuh ialah gaya bahasa pra-Islam. Lebih menarik lagi apabila kita fikirkan pandangan Profesor Syed Muhammad Naguib al-Attas (1990) yang mengatakan bahawa sebelum Islam tiba di Kepulauan Melayu, tiada terdapat suatu bahasa umum yang dapat digelar bahasa Melayu. Terdapat pendapat lain mengatakan orang Melayu sebelum kedatangan Islam dikategorikan sebagai buta huruf. Menurut beliau,
“Bahasa ‘Melayu kuno’ yang difikirkan orang itu sebenarnya tiada dapat dirumuskan sebagaiMelayu, kerana zaman itu nampaknya belum timbul konsep bahasa Melayu. Prasasti-prasasti kala sebelum Islam tiada memberi kesimpulan yang cukup dan jelas terhadap bentuk sifat bahasa orang Melayu; hanya seolah-olah tulisan-tulisan yang terpahat padanya, adalah bentuk sifat bahasa campuran bahasa Pali dan lain-lain yang mungkin pula merupakan bahasa golongan tertentu yang tiada membayangkan bahasa orang sehari-hari. … Nampaknya besar pula kemungkinan bahawa pada zaman pra-Islam tiada terdapat satu tulisan tunggal, satu abjad, yang menyatu padu serta dengan kukuhnya mengikat bahasa meliputi golongan-golongan yang dapat diberi gelaran Melayu.”

                Penemuan bahan sejarah ini menjelaskan tentang kedudukan bahasa Melayu serta tulisannya sebelum kemunculan tulisan jawi. Pertama, bahasa Melayu mula tumbuh pada abad ketujuh Masehi. Kedua, abad ketujuh hingga abad kedua belas merupakan tahap perkembangannya secara evolusi. Pada tahap ini bahasa Melayu berkemungkinan menjadi bahasa perantaraan di Kepulauan Melayu tetapi belum dapat menyaingi bahasa Jawa yang terbukti lebih maju. Walaupun bahasa Melayu belum dapat menyatukan pelbagai bahasa daerah yang terdapat di Kepulauan ini, bahasa Melayu bermula, secara evolusi, menjadi bahasa ilmu pengetahuan tetapi belum boleh dianggap sebagai bahasa ilmu pengetahuan yang sebenarnya. Ketiga, bahasa Melayu menggunakan berbagai-bagai tulisan tetapi belum mempunyai satu sistem tulisan yang praktis (Edwar Djamaris, (1980) dan Ismail Hussein, (1981).
            Kemunculan tulisan jawi membuka lembaran baru dalam sejarah Bahasa Melayu. Sebuah batu bersurat dijumpai pada tahun 1899 Masihi di Sungai Teresat, kira-kira, 32 kilometer dari muara Sungai Terengganu. Pada batu itu terpahat huruf Arab-Melayu dianggap tulisan jawi tertua di Asia Tenggara. Batu bersurat itu bertarikh Jumaat, 4 Rejab 702 Hijrah bersamaan dengan 22 Februari 1303 Masihi. Inti batu bersurat itu bertulis pengumuman sepuluh fasal “syarat undang-undang”. Pengumuman itu dimulakan dengan perisytiharan supaya semua raja dan orang besar yakin dan berpegang teguh pada agama Islam dan ajaran Rasulullah SAW.
               Penemuan ini bermakna, sebelum tahun 1303 Masihi, sekurang-kurangnya di Terengganu, sudah ada orang yang mengetahui atau boleh membaca tulisan jawi. Perkara inilah dapat dirumuskan bahawa penulisan bahasa Melayu telah mengalami beberapa perubahan dan menggunakan beberapa jenis huruf yang saling berganti. Tulisan yang mula dipakai adalah tulisan Pallava yang berasal dari India. Tulisan Pallava ini kemudian mengalami perubahan. Oleh itu, timbul jenis-jenis tulisan seperti berikut Tulisan RencongTulisan PallavaTulisan KawiTulisan jawi, dan Tulisan Rumi (Hashim Hj Musa, 1996).
Menurut Amat Juhari Moain (1996) tulisan jawi telah digunakan oleh orang Melayu dalam berbagai-bagai jenis lapangan dan kegiatan penulisan. Bahkan untuk kesenian juga tulisan ini digunakan, iaitu pada seni khat bagi menghiasi mihrab, di dinding dalam masjid, batu nisan dan seumpamanya. Dalam Sejarah Melayu (Hashim Musa, 1996) dicatatkan bahawa tulisan jawi telah digunakan untuk perkara berikut:
i.   Prasasti atau batu bersurat. Contohnya prasasti Terengganu yang telah ditemui di Sungai
     Teresat, Kuala Berang, Hulu Terengganu.
ii.  Batu hidup. Tulisan ini terdapat pada batu hidup yang ditemui di Pangkalan Kempas,
      Negeri Sembilan.
iii.  Batu Nisan. Ini banyak terdapat di berbagai-bagai tempat bekas berdirinya kerajaan-
       kerajaan Islam pada zaman silam.
iv.  Mata wang, terutama wang emas dan perak. Pada mata wang ini diukir nama raja Melayu
      yang memerintah dengan menggunakan tulisan jawi seperti nama Sultan Muzaffar Shah,
      Mansur Shah dan lain-lain.
v.  Surat kiriman antara raja. Ini banyak dibuat bukan sahaja antara raja Melayu tetapi juga
     dengan raja-raja di tempat lain seperti raja Melayu dengan raja Portugal atau raja Inggeris
     atau raja-raja lain.
vi. Kitab dan buku. Jenis ini yang paling banyak terdapat sama ada dalam bentuk manuskrip
     (bertulisan tangan) atau cap batu.
vii. Surat-surat perjanjian antara raja dan negara di Alam Melayu.
iix.  Catatan-catatan pemilikan dan perdagangan terutama di pelabuhan dan kapal-kapal
       perdagangan.
ix. Surat khabar dan majalah seperti surat khabar Alamat Lankapuri, Majalah Bustan Arifin,
     surat khabar Jawi Peranakan dan majalah al-Imam.
x.  Piagam dan teks pemasyhuran. Contohnya seperti tulisan pada teks ciri yang dibacakan
      ketika melantik seseorang itu menjadi pembesar.

Hasil catatan tersebut jelas menunjukkan bahawa Tulisan jawi pada waktu itu digunakan dengan meluas dalam urusan-urusan penting sehingga dianggap satu tulisan yang hebat di kepulauan Tanah Melayu dan Nusantara. Penggunaan yang meluas itu telah menarik perhatian penulis-penulis tempatan dan luar negeri seperti W.G Shellaber (1925) untuk menulis buku Evolution of Malay Spelling, R.J. Wilkinson dan Winstedt dengan terbitan Kamus Jawi Melayu-Inggeris (1901,1903, 1913, 1939) yang masih menggunakan versi ejaan jawi tua. Sehingga kini penyelarasan Tulisan jawi dibuat dari masa ke semasa oleh tokoh tersohor jawi iaitu Ahmad bin Mathlob atau lebih dikenali sebagai Pak Mathlob. Sumbangan beliau dalam usaha memartabatkan Tulisan jawi sangat besar memandangkan kerajaan Malaysia kini semakin giat mencari satu alternatif untuk memulihkan Tulisan jawi sejak daripada peringkat sekolah rendah.

Sifat Mahmudah dan Sifat Mazmumah


Hayatilah Sifat Mahmudah dan Jauhi Sifat Mazmumah
Sahabat yang dirahmati Allah,
Asas penting dalam kehidupan seorang Mukmin adalah memiliki asas akhlak Islam yang mantap. Akhlak yang nampak lahir dalam kehidupan adalah berasaskan iman kepada Allah s.w.t. Tanpa iman yang kukuk tidak mungkin seseorang mampu melahirkan akhlak Islam dalam kehidupannya. Sifat mahmudah adalah peribadi seorang Mukmin yang memiliki akhlak Islam dan ianya lahir daripada satu proses tarbiyah Imaniah.

Adapun sifat-sifat Mahmudah itu ada 10 sifat iaitu:-

1. Taubat - keazaman untuk meninggalkan segala kesalahan dan dosa-dosa yg telah dilakukan.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud, " Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri."
(Surah Al-Baqarah ayat 222)

2. Takut kepada Allah (taqwa)- Seseorang Mukmin itu apabila dia mengenali Zat Allah melalui sifat-sifat-Nya, maka jiwanya akan mewarisi perasaan takut terhadap Allah s.w.t.

Firman Allah maksudnya : “ Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa kepada-Nya dan janganlah kamu mati melainkan kamu menyerah diri ( kepada Allah s.w.t ).”( Surah Ali Imran ayat 102 )

3. Mahabbah (kasih sayang) sesama Mukmin.

Dari Muaz bin Jabal meriwayatkan, aku mendengar Rasulullah s.a.w. meriwayatkan hadis qudsi : Allah Azzawa Jalla berfirman yang bermaksud : " Orang-orang yang mencintai satu sama lain kerana kebesaran dan kemuliaan-Ku akan duduk diatas mimbar-mimbar nur pada hari qiyamat, (bahkan) nabi-nabi dan para syuhada akan beriri hati kepada mereka."(Hadis Riwayat Tirmizi)

4. Zuhud - mengambil dunia sekadar yang perlu. Di dalam hati tidak ada kecintaan pada kehidupan di dunia.Zuhud yang sebenarnya adalah mengutamakan kehidupan akhirat dari dunia. Firman Allah s.w.t bermaksud :“Tetapi kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan duniawi. Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.” (Surah Al-A’laa: 16-17)

5. Sabar. Bersabar dengan ujian dan dugaan daripada Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Sesungguhnya orang yang bersabar akan diberikan pahala mereka tanpa hisab"

(Surah az-Zumar: 10).

6. Syukur . Melahirkan rasa berterima kasih kepada nikmat Allah s.w.t yang banyak diperolehi.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :"Siapa yang tidak bersyukur dengan pemberian yang sedikit, dia juga tidak akan bersyukur dengan pemberian yang banyak. Siapa yang tidak mensyukuri manusia, bererti dia juga tidak mensyukuri Allah. Memperkatakan nikmat Allah adalah tanda syukur, dan mengabaikannya adalah kufur. Berjemaah itu dirahmati, sedangkan berpecah belah itu mengundang azab."(Hadis Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad)

7. Ikhlas dan benar. Melaksanakan sesuatu amalan semata-mata kerana Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran ini kepadamu wahai Muhammad dengan membawa kebenaran,oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat kepadaNya"

8. Tawakkal - sentiasa berserah diri kepada Allah s.w.t. setelah berazam, seterusnya diikuti dengan usaha.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud : "Dan (ingatlah), sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya)."
(Surah al-Thalaq ayat 3).

9. Redha dengan Qadha' dan Qadar.

Firman Allah lagi maksudnya : "Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (loh mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah ".(Surah Al-Hadid ayat 22)

Allah berfirman maksudnya : "Tidak luput darpada pengetahuan Tuhanmu biarpun sebesar zarah di bumi atau pun di langit. Tidak ada yang lebih kecil dan tidak (pula) yang lebih besar daripada itu melainkan (semuanya tercatat) dalam kitab yang nyata (loh mahfuz). " (Surah Yunus ayat 61)

10. Mengingati mati - Merasai hidup di dunia ini adalah sementara dan di hari akhiratlah kehidupan yang kekal abadi.

Sabda Nabi saw bermaksud ” Sepintar-pintar manusia ialah orang yang sentiasa mengingati mati dan sentiasa bersiap sedia menghadapinya, mereka itulah orang yang bijaksana”.

Sahabat yang dikasihi Allah,
Berlawanan dengan sifat mahmudah adalah sifat mazmumah (sifat yang dicela). Untuk menjadi seorang Mukmin dan berhajat untuk menghampirkan diri kepada Allah s.w.t maka hendaklah kita menjauhi sifat mazmumah. Sifat Mazmumah ialah sifat-sifat yang tidak baik yang dimiliki oleh mereka yang lemah imannya dan sifat yang dibenci oleh Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w.

Menurut Imam Ghazali antara sifat2 Mazmumah ialah seperti berikut:

1. Gemar Makan dan Minum:

Hadis Nabi saw maksudnya ” Yang terlebih Afdhal(utama) pada Allah s.w.t ialah orang yg banyak berlapar dan banyak tafakur (berfikir sambil meneliti) Dan yang terlebih benci kepada Allah ialah orang yang banyak makan, banyak tidur dan banyak minum”.

2. Banyak berkata-kata (yang sia-sia):
Telah menjadi lumrah manusia suka berkata dan membuang masa dengan sia-sia dan tidak mendatangkan faedah.

Firman Allah swt yang bermaksud:“Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka, melainkan bisikan-bisikan daripada yang menyuruh (manusia) bersedekah, atau berbuat makruf, atau mendamaikan manusia”(Surah AnNisa ayat 114)

3. Marah:
Sifat marah berpunca dari kurang kesabaran dalam menghadapi sebarang keadaan. Orang yang demikian selalunya didorong oleh pengaruh Syaitan yang ingin merosakkan iman dan dirinya.

Dari Abu Hurairah r.a, bahwasanya seseorang berkata kepada Nabi s.a.w., "Berilah aku wasiat?."Nabi s.a.w. bersabda: : "Janganlah engkau marah"Orang tersebut mengulangi permintaannya hingga beberapa kali, sedang Nabi s.a.w. bersabda : " Janganlah engkau marah"(Hadis Riwayat. Bukhari).

4. Hasad dengki, dan iri hat:
Sifat di atas lahir daripada rasa kurang senang dengan nikmat yang dikecapi orang lain lalu mengharapkan nikmat itu terhapus daripadanya.

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: ” Hasad itu memakan (memusnahkan) kebaikan , sebagaimana api memakan (membakar) kayu.”

5. Kasih kepada harta:
Tiada salah memiliki harta dan kemewahan hidup. Tetapi kemewahan yang membawa kepada sifat bakhil , tamak haloba dan juga membazir dibenci oleh Islam.

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud, "Tidak akan berkumpul dalam hati seorang hamba bersifat bakhil dan keimanan"

Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Hampir tiba suata masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka".Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?" Nabi s.a.w. menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah s.w.t. akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah s.w.t. akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan". Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu hai Rasulullah?"Nabi Muhammad s.a.w. menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati".(Hadis Riwayat Abu Daud)

6. Takbur:
Banyak sebab yang boleh menyebabkan seseorang itu takbur atau sombong diri seperti nasab keturunan, kuasa pemerintahan, kekayaan, kelebihan ilmu, banyak pengikut dan banyak ibadat.

Dari Abdullah bin Mas'ud dari Nabi s.a.w., bahawasanya baginda bersabda yang bermaksud, "Tidak akan masuk Syurga orang yang di dalam hatinya terdapat sebesar biji sawi dari kesombongan."Salah seorang berkata, "Sesungguhnya ada orang yang menyukai baju dan sandal yang bagus."Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan mencintai keindahan. Sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan manusia."
(Hadis Riwayat Muslim)

7. Riyak :
Riyak pula ditakrifkan sebagai sifat untuk menarik pandangan orang dengan menampakkan pelbagai amalan yang baik dilakukan semata-mata menginginkan pujian, pangkat atau kedudukan. Riak ialah penyakit hati yang paling ditakuti Rasulullah s.a.w. menimpa umatnya kerana ia boleh berlaku dalam pelbagai keadaan, hatta ketika menunaikan solat yang sepatutnya dilakukan dengan ikhlas.

Kerisauan itu dinyatakan Rasulullah s.a.w. dalam sabda bermaksud: "Sesungguhnya yang paling ditakutkan daripada apa yang aku takutkan menimpa kalian adalah asy syirkul ashghar (syirik kecil). Sahabat bertanya: "Apakah dimaksudkan syirik kecil itu? Baginda menjawab: Riak." (Hadis riwayat Imam Ahmad)

8. Ujub :
Sifat ujub pula ialah berkait rapat dengan takbur dan riyak. Ujud bererti berasa hairan dengan keistimewaan dan kelebihan diri sendiri. Ini juga berkait rapat dengan kelebihan dari segi kecantikan , kepandaian, kekayaan dan lain-lain. Berapa banyak ibadah yang rusak karena penyakit ujub?

Dalam sebuah hadis qudsi disebutkan bahwa seorang lelaki berkata: “Allah tidak akan mengampuni si Fulan! Maka Allah Subhanahu wa Ta’ala pun berfirman:“Siapakah yang lancang bersumpah atas namaKu bahwa Aku tidak mengampuni Fulan?! Sungguh Aku telah mengampuninya dan menghapus amalanmu!” (Hadis Riwayat Muslim)

9. Kasih akan Dunia:
Hati yang sentiasa berpaut kepada kehidupandan kesenangan dunia akan menyebabkan seseorang itu takutkan mati.

Hakikat sebenar kehidupan dunia ini telah digambarkan oleh Allah s.w.t.dalam firmaNya yang bermaksud :" Ketahuilah sesungguhnya kehidupan dunia adalah permainan, senda gurau, perhiasan, bermegah-megah antara kamu dan berlumba-lumba dalam mengumpul harta kekayaan dan anak pinak."

Sahabat,
Marilah kita berusaha bersungguh-sungguh untuk memiliki dan menghayati sifat mahmudah dan berusaha pula untuk menjauhkan sifat mazmumah. Orang Mukmin tidak akan mensia-siakan hidupnya di dunia yang sementara ini dengan mempertingkatkan amal solehnya dan berikhtiar semoga seluruh hidupnya mendapat redha Allah s.w.t.