klik sini

Friday, August 19, 2011

Impilkasi Teori Pembelajaran Sosial


Ahli pemikir atau ahli falsafah mempunyai pandangan yang berbeza dan pendapat yang menjurus kearah pemikiran berdasarkan pemerhatian masing-masing. Para guru harus bijak meneliti dan memahami teori pembelajaran sosial ini, sekaligus meningkatkan kualiti dan menguasai kelas dengan kadar yang paling optima. Contohnya, ahli behavioris mengatakan bahawa pembelajaran melibatkan perubahan tingkahlaku. Namun dari sudut pandangan ahli teori kognitif, mereka berpandangan bahawa tingkahlaku adalah hasil pemprosesan maklumat yang melibatkan proses mental. Ahli pembelajaran sosial berpendapat bahawa pembelajaran boleh berlaku melalui pemerhatian sahaja. Oleh itu, pembelajaran tidak semestinya akibat perubahan tingkahlaku. Pelopor bagi teori pembelajaran sosial lebih menekankan pemerhatian murid dalam pembelajaran. Kajiannya menggunakan patung ‘Bobo’ menunjukkan permerhatian yang lebih oleh murid-murid prasekolah terhadap aktiviti pembelajaran atau terhadap gurunya sendiri. Oleh yang demikian,guru seharusnya menyedari implikasi teori pembelajaran sosial untuk mematangkan teknik pengajaran dalam kelas mahupun mematangkan lagi pemahaman guru tersebut dalam suasana pembelajaran dalam kelas. Antara implikasi terhadap guru adalah murid-murid akan menjadikan guru tersebut sebagai tiruan tingkahlaku di dalam kelas. Guru tersebut akan menjadi daya penarik samada dari segi penampilan yang kemas, suara yang lantang, arahan yang jelas, pengajaran yang merangsang dan sebagainya. Murid akan meniru perlakuan atau bahasa tubuh yang menarik dan mengaplikasikannya dalam aktiviti seharian murid tersebut bahkan sehingga seluruh hidupnya pada masa hadapan. Oleh yang demikian, guru perlu menitikberatkan tentang penampilan dan perwatakan agar menjana peribadi murid yang lebih berketrampilan pada masa hadapan. Di samping itu, guru bertanggungjawab untuk mendedahkan murid-murid kepada pelbagai jenis role model. Dengan itu, masalah stereotaip boleh diatasi dalam kalangan murid-murid terhadap satu-satu kumpulan etnik atau status sosioekonomi. Sosioekonomi adalah kajian hubungan di antara aktiviti ekonomi dan kehidupan sosial. Jurusan ini sering dianggap pelbagai disiplin, menggunakan teori dan kaedah dari sosiologi, ekonomi, sejarah, psikologi, dan banyak lagi. Ia telah muncul sebagai suatu bidang kajian berasingan pada lewat kurun kedua puluh. Dalam banyak perkara, bagaimanapun, pakar sosioekonomi berfokus pada kesan sosial sesetengah jenis perubahan ekonomi. Perubahan tersebut boleh termasuk menutup kilang, manipulasi pasaran, menandatangani perjanjian perdagangan antarabangsa, kawalan gas asli dan sebagainya. Kesan-kesan sosial seperti itu dapat menjadi berlingkungan luas dalam saiz, daripada kesan tempatan pada suatu masyarakat kecil ke perubahan pada keseluruhan masyarakat. Contoh-contoh kesan sosioekonomi termasuk teknologi baru seperti kereta atau telefon bimbit, perubahan pada undang-undang, perubahan pada alam fizikal (seperti bertambah kesesakan dalam bandar), dan perubahan ekologi (seperti kemarau memanjang atau kemerosotan stok ikan). Ini boleh mempengaruhi corak penggunaan, pembahagian pendapatan dan kekayaan, cara di mana orang berkelakuan (kedua-dua dari segi keputusan pembelian dan cara bagaimana mereka memilih menggunakan waktu mereka), dan kualiti hidup yang keseluruhannya. Sasaran kajian sosioekonomi umumnya untuk membawa pembangunan sosioekonomi, biasanya dari segi pembaikian dalam metrik seperti KDNK, jangka hayat, celik huruf, kadar pekerjaan dan lain-lain. Dalam konteks pembelajaran dalam kelas, guru perlu menekankan bahawa tiada perbezaan dalam menjalani proses dan aktiviti di dalam kelas. Hal ini kerana, dewasa ini, seringkali berlaku pertembungan budaya yang menetapkan perbezaan status dalam masyarakat. Sesetengah golongan bertaraf professional lebih cenderung membezakan taraf dan kedudukan masing-masing dalam masyarakat. Akhirnya, anak-anak juga menunjukkan peribadi yang sama dan menyukarkan perjalanan aktiviti di sekolah dan di dalam kelas. Penting bagi guru untuk menghapus dan menyamaratakan status murid di dalam kelas. Di samping itu, dengan mengetahui teori pembelajaran sosial ini, guru perlu menyediakan persekitaran sosial yang kondusif agar modeling berlaku. Insentif, pengukuhan dan sokongan moral seharusnya diberikan bagi menggalakkan berlakunya tingkahlaku yang baik dalam kalangan murid. Menurut Najeemah Md. Yusof (2006), pembelajaran merujuk kepada perubahan tingkah laku atau pengetahuan hasil daripada pengalaman. Pembelajaran ini pula dipengaruhi oleh persekitaran yang positif, atau disebut persekitaran pembelajaran kondusif iaitu merupakan satu komponen yang amat penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Dalam konteks pendidikan, Choong Lean Keow (2008) mendefinisikan persekitaran pembelajaran yang kondusif sebagai iklim dan budaya bilik darjah secara menyeluruh yang merangkumi beberapa aspek seperti pola komunikasi, reka bentuk, pelan lantai dan susun atur ruang fizikal dan kebolehan guru mengurus murid-murid dalam bilik darjah. Bersandarkan maksud tersebut, dapat difahami bahawa persekitaran pembelajaran kondusif merupakan satu keperluan wajib untuk memungkinkan proses pembelajaran berlaku dengan lancar. Persekitaran yang kondusif ini merangkumi empat aspek iaitu persekitaran fizikal, persekitaran psiko-sosial, peraturan bilik darjah dan rutin bilik darjah. Menurut Haliza Hamzah dan Joy Nesamalar Samuel (2008), pembelajaran akan berkesan sekiranya persekitarannya, iaitu bilik darjah diurus dengan baik agar murid-murid boleh bekerjasama, berkomunikasi dan berkongsi dengan teratur dan selesa. Bilik darjah yang kondusif merangkumi 4 aspek utama iaitu persekitaran fizikal, persekitaran psiko-sosial, peraturan bilik darjah serta rutin bilik darjah. Persekitaran fizikal boleh menyumbang kepada pembelajaran murid, kawalan kelas, hubungan murid dengan guru dan murid dengan murid lain. Persekitaran yang selesa, kemas dan ceria mampu menyeronokkan pengalaman pembelajaran murid. Faktor yang memberikan kesan kepada persekitaran psiko-sosial yang sihat adalah pendekatan pengajaran, gaya kepimpinan guru, bentuk komunikasi dan corak interaksi yang beliau wujudkan di dalam bilik darjah. Fungsi peraturan dan rutin dijalankan secara serentak kerana setiap aktiviti murid-murid perlu ada pengawasannya. Peraturan dan rutin dibincangkan bersama guru dengan murid untuk memberikan keselesaan kedua-dua belah pihak. Implikasi yang seterusnya menjurus kepada pengetahuan guru sendiri. Guru seharusnya menimba lebih banyak ilmu pengetahuan khususnya dalam pedagogi pengajaran dan matapelajaran utama umumnya. Tanpa guru berkualiti, adalah sukar untuk menjayakan sebarang pembangunan dan pembentukan disiplin murid seperti yang diinginkan. Para guru seharusnya sedar betapa besarnya usaha untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam kehidupan dan rona pendidikan yang semakin mencabar. Seterusnya, hasrat untuk melahirkan guru yang berpengetahuan haruslah dilakukan dengan cara yang bersungguh-sungguh. Contohnya guru ringan tulang untuk menyertai seminar, forum, pembentangan kertas kerja, dan lain-lain samada di peringkat yang rendah atau yang tertinggi. Guru berkualiti adalah guru yang mampu menguasai dan merealisasikan segala kemahiran, pengetahuan dan kepakaran yang ada pada diri guru sendiri sebagai alat untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Bahkan, guru juga perlu mengenali teknik-teknik pengajaran yang berkesan, terkini dan menarik minat pelajar. Dengan ini, murid lebih faham, bertambah minat, menghayati bahan yang diajar, meningkatkan kemahiran dan aspek kognitif serta manipulasi dan akhirnya melakukan aktiviti dengan proses pengajaran yang telah dijalani.

PENDEKATAN HUMANISTIK DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

PENDEKATAN HUMANISTIK DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Menurut Carl Rogers, setiap individu mempunyai keinginan semulajadi untuk belajar ( Choong Lean Keow, 2011). Oleh itu Carl Rogers percaya bahawa setiap individu mempunyai kecenderungan dan hasrat untuk mencapai kesempurnaan dirinya. Dalam hal ini guru dapat memanfaatkan pendekatan ini dengan cara membentuk suasana bilik darjah yang kondusif untuk murid-murid belajar. Guru boleh membentuk suasana bilik darjah yang kondusif dengan menyediakan persekitaran kelas yang selamat dan tenang agar murid dapat belajar dengan selesa. Seorang guru boleh menjalankan pelbagai jenis aktiviti pengajaran dan pembelajaran agar murid-murid berasa seronok ketika berada dalam bilik darjah tersebut tidak merasa tertekan atau terbeban apabila mengikuti pembelajaran. Guru perlu peka terhadap aspek perkembangan diri setiap murid dengan memastikan keperluan asas wujud dalam persekitaran bilik darjah khususnya. Dalam hal ini guru perlu mengambil kira tentang aspek bilik darjah, sama ada bilik darjah tersebut selesa atau tidak.

Selain itu, guru perlu memberikan kebebasan kepada murid-murid untuk memilih apa yang ingin mereka pelajari semasa berada dalam bilik darjah. Hal ini bersesuaian dengan pendapat yang dinyatakan oleh Rogers bahawa pembelajaran yang bersifat signifikan hanya akan berlaku kandungan matapelajaran adalah relevan dengan minat murid-murid. Guru perlu memberi ruang kepada murid-murid untuk mengembangkan potensi mereka ke tahap yang maksimum. Dalam hal ini, guru boleh memberikan peluang kepada muriduntuk memilih pembelajaran yang mereka mahukan sesuai dengan minat murid. Murid-murid lebih mudah memahami sesuatu pelajaran sekiranya mereka berminat dan ingin tahu tentang perkara tersebut. Contohnya, murid yang minat melukis akan memberikan tumpuan sepenuhnya apabila guru lukisan mengajar di dalam kelas. Secara tidak langsung minat dan sifat ingin tahu dalam diri murid tersebut menyebabkan murid itu mudah menerima dan memahami apa yang telah disampaikan oleh gurunya. Pembelajaran melalui proses kebebasan dapat memberi peluang kepada murid untuk membuat penilaian kendiri terhadap kemampuan diri sendiri.

Menurut Rogers juga, murid-murid lebih mudah menerima pembelajaran apabila ancaman luaran berada pada tahap minimum (Noriati Arashid & Boon Pong Ying, 2009). Di sini bermakna guru bukan sahaja menyediakan keadaan bilik darjah yang tenang dan selesa, tetapi juga menyediakan keadaan bilik darjah yang selamat kepada murid-murid. Keselamatan bilik darjah tersebut termasuklah keadaan bilik darjah. Susunan meja dan kerusi yang teratur akan mempengaruhi minat murid-murid untuk belajar. Kebersihan dan keceriaan kelas juga mempengaruhi emosi murid-murid. Keadaan bilik darjah yang bersih, ceria dan selamat membolehkan murid dapat menjalankan sebarang aktiviti dengan rasa yang selesa dan tenang. Guru juga penting untuk mengambil kira aspek keselamatan pelajar ketika mereka berada dalam bilik darjah atau luar bilik darjah tersebut. Contohnya tidak ada gangguan atau halangan daripada mana-mana individu yang boleh menyebabkan murid tersebut berasa takut untuk belajar seperti gangguan daripada rakan-rakan lain yang suka membuli atau sebagainya.

Disamping itu, dalam pendekatan humanistik Carl Rogers juga guru boleh mengaplikasikan cara pembelajaran dan pengajaran dengan merancang pelbagai jenis aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang sesuai kepada murid-murid. Rogers menyatakan seorang guru perlu menjelaskan objektif pembelajaran dan membekalkan sumber pembelajaran yang sesuai (Mok Soon Sang, 2009). Guru boleh memanfaatkan cara ini ketika melaksanakan pengajaran di dalam kelas. Murid perlu tahu apa yang mereka perlu capai dalam sesuatu pembelajaran yang dilaksanakan oleh guru agar mereka mudah untuk mengikuti pembelajaran dalam bilik darjah tersebut. Pada hakikatnya, guru perlu bijak untuk menghidupkan suasana pembelajaran dengan mempelbagaikan kaedah pengajaran. Guru juga perlu membuat refleksi diri tentang kelemahan semasa proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan. Pembelajaran yang menyeronokkan di dalam bilik darjah akan menimbulkan minat dan motivasi dalam diri murid untuk belajar. Sebagai contoh, guru menggunakan bahan bantu mengajar yang menarik ketika menjalankan proses pengajaran di dalam bilik darjah. Bahan bantu mengajar yang sesuai dapat membantu murid-murid untuk memahami pelajaran dengan cepat dan mudah. Dalam pendekatan humanistik, guru juga perlulah memupuk nilai penghargaan kendiri dalam kalangan murid-murid serta memberi motivasi dan peneguhan yang sesuai supaya mereka sentiasa bersungguh-sungguh dalam mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran. Dalam hal ini guru bukan sahaja bertindak sebagai menyampaikan ilmu semata-mata malahan guru juga bertindak untuk memberikan motivasi kepada murid-murid. Abraham Maslow menganggap motivasi sebagai sesuatu yang kompleks, dimana tingkah laku luaran yang diperlihatkan oleh manusia. Beliau juga menganggap, individu akan terus bermotivasi oleh kerana sesuatu matlamat ( Choong Lean Keow, 2011). Matlamat ini dianggap sebagai keperluan yang perlu dipenuhi oleh semua manusia tanpa mengambil kira budaya, persekitaran dan perbezaan generasi. Motivasi mampu merangsang dan membantu seseorang murid untuk mencapai matlamat pembelajaran. Motivasi juga mampu membuatkan murid aras rendah berkeyakinan untuk meningkatkan perkembangan kognitifnya. Dalam pendekatan humanistik Rogers juga, guru haruslah berkongsi perasaan dan idea dengan murid-murid. Guru perlu berkongsi perasaan, idea dan fikiran dengan pelajar selain cuba berkomunikasi menggunakan pendekatan dua hala. Komunikasi yang baik antara guru dan murid dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih berkesan dan hubungan antara guru dan murid menjadi lebih baik. Perkongsian perasaan dan idea akan memudahkan guru untuk memahami murid-muridnya. Guru juga mudah menyelesaikan masalah-masalah yang wujud di dalam bilik darjah yang berkaitan dengan masalah murid. Komunikasi dua hala antara guru dan murid juga boleh mewujudkan suasana yang penyayang di dalam bilik darjah. Murid-murid tidak akan berasa tertekan dan mereka juga akan lebih menghargai guru mereka.Komunikasi yang baik dan berkesan dapat dijelmakan dalam pelbagai cara seperti cara bertutur, penggunaan bahasa badan, penulisan, dan juga melalui penggunaaan alat-alat tertentu seperti komputer. Perkongsian perasaan membolehkan situasi bilik darjah mudah dikawal oleh guru kerana guru mengetahui di mana kelemahan seseorang murid tersebut. Hal ini memudahkan guru tersebut mengambil langkah mengawal dan menyelesaikan masalah murid tersebut. Setiap orang pasti akan menghadapi kegagalan, namun kegagalan tidak bermaksud kekalahan. Guru haruslah membimbing muridnya untuk membetulkan kesilapan dan mengajar tanpa rasa jemu.Contohnya dalam bilik darjah, guru perlu memotivasikan murid-murid dengan menunjukkan sesuatu yang menarik sebelum memulakan sesi pembelajaran agar mereka dapat memberikan tumpuan yang baik. Motivasi juga boleh diberikan dalam bentuk lain contohnya dengan memberikan ganjaran. Pelbagai bentuk ganjaran boleh diberikan seperti hadiah, pujian, pelepasan dari tugas harian dan sebagainya. Selain itu, guru boleh memupuk nilai-nilai motivasi diri melalui bimbingan supaya murid dapat memahami diri, menerima diri, melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti sosial, dan seterusnya memperkembangkan potensi diri sendiri. Ahli humanistik berpendapat bahawa kriteria pertama dalam menentukan kejayaan dalam proses pengajaran dan pembelajaran ialah kepuasan kanak-kanak atau murid-murid terhadap dirinya sendiri. Kepuasan seseorang murid dalam diri sendiri akan meningkatkan keyakinan mereka dalam melakukan sesuatu perkara. Contohnya seorang guru yang mengajar murid tahun satu perlu menyediakan soalan-soalan latihan yang sesuai dengan aras murid tersebut agar mereka dapat menjawab soalan tersebut. Jika mereka mendapat soalan yang susah dan tidak dapat menjawab soalan tersebut, mereka akan menganggap bahawa diri mereka bodoh dan seterusnya menyebabkan keyakinan dalam diri mereka rendah. Perasaan rendah diri boleh membawa kepada terhapusnya potensi diri dalam seseorang murid. Mereka akan sentiasa berasa gelisah dan bimbang kerana tidak dapat menjawab soalan yang diberikan oleh guru setiap kali guru mengajar di dalam kelas. Sikap intrinsik akan mempengaruhi kepercayaan murid-murid tentang kebolehan diri untuk meningkatkan pencapaian. Disamping itu, guru juga boleh memanfaatkan pendekatan humanistik dalam pembelajaran dengan cara memberi perhatian kepada potensi diri setiap pelajar mereka khususnya melibatkan bakat dan kebolehan terpendam. Guru boleh menjalankan pelbagai pertandingan untuk mencungkil bakat-bakat yang ada dalam diri murid-murid. Contohnya pertandingan melukis. Dengan mengajurkan pertandingan ini, guru dalam melihat murid-murid yang berbakat dan seterusnya menggalakkan mereka untuk mengasah bakat semulajadi yang mereka ada tu. Murid-murid yang mengikuti bidang yang mereka minati akan berkebolehan untuk berjaya dalam bidang tersebut. Pendekatan humanistik menekankan sifat semulajadi individu untuk belajar. Dalam erti kata lain perasaan ingin belajar dalam diri individu di dorong oleh keinginan semulajadi murid tersebut. Dalam hal ini, murid-murid tersebut akan mempunyai kawalan atas pembelajaran mereka masing-masing. Di sini guru memainkan peranan yang penting. Guru perlu menjadi seorang fasilitator dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru hanya memainkan peranan sebagai pembimbing kepada pelajar. Kaedah ini amat sesuai kerana kaedah ini lebih berkonsepkan kepada pendekatan pembelajaran berpusatkan pelajar. Sebagai fasilitator, guru perlu memainkan peranan dengan membimbing murid-murid agar pembelajaran berjalan dengan lancar. Sebagai contoh, ketika guru hendak mengajar karangan di dalam kelas, guru hanya perlu menyediakan gambar sebagai panduan kepada murid-murid tersebut. Melalui gambar tersebut murid boleh menghasilkan sebuah karangan dan seterusnya dapat memperkembangkan kemahiran dalam diri murid. Guru memberikan kebebasan kepada pelajar untuk menilai karangan mereka sendiri berdasarkan daripada skema yang ditetapkan oleh guru tersebut. Seorang guru juga perlu bersikap prihatin dan memahami setiap murid-muridnya. Guru perlu menangani kesilapan yang dilakukan pelajar dengan cara yang lebih proaktif melalui komunikasi secara peribadi dengan murid yang berkaitan tanpa melibatkan kelompok besar di dalam bilik darjah. Dengan cara ini pelajar tidak akan berasa malu di hadapan kawan-kawan lain. Cara ini juga dapat mengelakkan murid-murid daripada berasa rendah diri. Disamping ituguru juga perlu mengambil berat akan aspek perbezaan individu khususnya isu sensitif yang melibatkan perbezaan latar belakang dan kepelbagaian kaum murid-murid dalam setiap sesi pengajaran dan pembelajaran. Contohnya guru tidak boleh merendah-rendahkan kaum lain di hadapan murid-murid yang berbilang kaum agar tidak timbul masalah-masalah dalam kelas tersebut. Sesetengah murid sangat sensitif dan merasa rendah diri apabila kaum mereka di rendah-rendahkan. Hal ini seterusnya akan mempengaruhi kepuasan intrinsik murid-murid tersebut dan keyakinan diri rendah. Selain daripada itu, seorang guru juga boleh memanfaatkan pendekatan humanistik dengan cara menggalakkan pelajar mengambil bahagian dalam kerja kumpulan terutamanya dalam pembelajaran koperatif dengan tujuan membina kemahiran sosial dan afektif. Sebagai contoh guru boleh membahagikan murid-murid kepada beberapa kumpulan kecil untuk perbincangan kerja kumpulan setiap minggu. Murid-murid akan berbincang bersama ahli kumpulan untuk menyelesaikan sesuatu masalah tersebut. Murid-murid akan didedahkan kepada perbincangan dan mereka juga dapat belajar sebagai satu pasukan. Murid-murid dapat berkongsi idea dengan kawan-kawan lain untuk menjawab soalan tersebut. Murid-murid juga dapat belajar untuk saling berkerjasama antara ahli kumpulan. Di dalam kelas juga, guru perlu mengajar murid-murid dengan penuh kasih sayang. Dalam hirarki keperluan Maslow, keperluan kasih sayang berada pada aras ketiga ( Choong Lean Keow, 2011). Guru hendaklah bersifat penyayang untuk memenuhi keperluan kasih sayang murid. Guru yang melayan murid-murid dengan sikap kasar menyebabkan murid akan berasa kecil hati dan tidak bersemangat untuk belajar. Guru juga perlu memenuhi keperluan asas murid-muridnya dahulu sebelum memulakan pengajaran. Guru perlu mengenal pasti setiap kekurangan keperluan asas semasa awal sesi pengajaran. Hal ini penting supaya murid merasa berminat dan tidak merasa bosan ketika sesi pengajaran dijalankan. Hal ini bersesuaian dengan hierarki keperluan Maslow. Guru hendaklah menerima murid tanpa syarat mengikut keupayaan dan kebolehan mereka. Guru perlu faham bahawa aras kebolehan dan kemampuan seseorang murid tidak semuanya sama. Sesetengah murid mudah menerima dan memahami sesuatu pelajaran sementara sesetengah pula sukar menerima sesuatu pelajaran yang disampaikan oleh guru. Kesimpulannya, guru haruslah memainkan peranan penting dan memastikan mereka memilih kaedah-kaedah dan pendekatan yang paling sesuai bagi memastikan murid-murid dapat belajar dan menerima pelajaran yang disampaikan dengan berjaya dan berkesan.

..KEPENTINGAN AKIDAH..

KEPENTINGAN AKIDAH

Malaysia kini, kanak-kanak yang berusia seawal empat tahun sudah dihantar ke pusat pengajian samada Tabika Kemas, Pasti atau Prasekolah. Ketika proses perkembangan minda ketika usia ini, kanak-kanak mudah memahami dan cepat menghafal perkara-perkara baru yang diajar. Justeru itu, penting bagi seseorang guru untuk membimbing pemikiran atau lebih khusus akidah murid pada peringkat perkembangan awal sekolah rendah.

Mengimbau kembali sejarah kegemilangan Islam suatu masa dahulu. Betapa hebatnya Islam menguasai seluruh pelusuk dunia dengan ajaran yang benar dan melengkapi seluruh aspek kehidupan. Daripada segi ekonomi, kemajuan, politik, dan sebagainya Islam memuncak sebagai satu kuasa besar yang kukuh. Dua pertiga dua ditakluk dengan jayanya, ajaran Islam menyeluruh dan menjadi bualan pada bibir kawan mahupun lawan. Namun, bukan itu yang harus direncana dengan gah pada muka ini. Namun lihatlah pada pembinaan dasar yang dilakukan oleh utusan Allah, Nabi Muhammad s.a.w. Pembangunan akidah ini bermula sejak kebangkitan Nabi Muhammad s.a.w di Mekah lagi. Kebangkitan dakwah Nabi Muhammad s.a.w. bermula secara rahsia di rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam. Pada masa tersebut, belum ramai yang mahu mengakui kebenaran yang disampaikan Nabi Muhammad s.a.w. walaupun seluruh Mekah mengenali Nabi Muhammad s.a.w sebagai Al-Amin iaitu bercakap benar. Baginda membentuk akidah para sahabat dan pengikut pada masa tersebut hingga kekuatan akidah tidak mudah dilentur dengan mata pedang sekalipun. Dapat dilihat dengan jelas apabila akidah Bilal bin Rabah diuji dengan seksaan oleh tuannya. Namun, hasil usaha keras yang diusahakan oleh Nabi Muhammad s.a.w, perkataan “Ahad” sentiasa di bibir hingga tamat riwayat Bilal bin Rabah. Begitulah betapa kuatnya pegangan akidah yang dibina pada dasar yang sempurna dan ikhlas.

Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Itulah yang dikatakan oleh pepatah melayu. Bayangkanlah buluh yang keras dapat dilentur daripada rebungya, apatah lagi anak-anak kecil yang masih tidak mengerti apa-apa dapat diserapkan dengan akidah yang mantap dengan mudah. Anak-anak kecil mudah menerima sebarang ilmu baru yang diberi kepada mereka dengan mudah. Sehubungan dengan itu, haruslah mereka dididik dengan akidah yang tepat dan tidak terpesong. Hal ini demikian kerana, betapa ramainya remaja sekarang yang menjadi liar dan tidak mengikut haluan Islam yang sebenarnya kerana tidak dididik dengan akidah yang betul ketika masih kecil lagi. Oleh itu, peranan ibu bapa dan guru amat penting bagi membimbing anak-anak kecil ini dengan akidah yang betul.

Jika dilihat masyarakat pada ketika kini, mereka kurang jelas mengenai bimbingan untuk mendekatkan diri kepada Allah. Mereka masih mencari-cari pegangan untuk memenuhi fitrahnya yang mahukan pegangan hidup. Demikian juga kepentingan akidah kepada peribadi muslim adalah menyerah diri kepada Allah. Penyerahan diri kepada Allah bukan sahaja meliputi dari aspek lahiriah bahkan batiniah. Ditambah pula dengan perjanjian kita semua di alam roh bahawa akan beriman dengan Allah s.w.t. Pemikiran dan jasad semua bertumpu kepada amalan kepada Allah dan tidak disandarkan kepada sesuatu yang lain. Sejarah menunjukkan betapa manusia memerlukan bimbingan dan fitrah untuk beragama sehingga ada yang menjadikan tumbuhan, batuan, atau benda-benda hidup sebagai Tuhan yang harus disembah. Pada zaman teknologi tinggi ini sekalipun, masih terdapat sebilangan manusia yang menganut kepercayaan animisme ini. Penekanan tinggi perlu diberikan kepada murid-murid sekolah rendah agar menerima konsep akidah yang benar.

Akidah juga merupakan akar tunjang kepada pembentukan peribadi mulia dan akhlak yang luhur dalam diri murid-murid sekolah rendah. Bayangkanlah bagaimana hidup mereka tanpa akidah ataupun pegangan agama, mereka akan hidup tanpa arah tuju. Hidup menjadi sia-sia dan amalan menjadi tidak berguna. Justeru itu jelaslah bahawa tanpa akidah islam dan cahaya hidayah islam, kehidupan mereka akan menjadi kucar-kacir dan hidup mereka akan berada dalam kegelapan tanpa agama. Janganlah menjadi seperti ilmu tanpa amal adalah sia-sia, amal tanpa ilmu adalah gila. Semua pihak perlu bersepakat agar menambahkan lagi sukatan ilmu akidah dalam silibus pelajaran sekolah rendah agar akidah Islam yang menjadi akar tunjang seseorang murid akan menjadi lebih kukuh dan utuh.

Betapa pentingnya Pendidikan Akidah pada peringkat sekolah rendah kerana tanpa akidah islam manusia akan menyembah selain daripada Allah. Hal ini jelaslah bahawa setiap amalan dan ibadat anak-anak adam akan menjadi tidak berguna dan tidak akan diterima oleh Allah s.w.t. Allah s.w.t akan mengampunkan dosa setiap hamba-hambanya. Oleh itu, janganlah kita takut untuk bertaubat jika telah terpesong akidah. Bertaubatlah kepada Allah s.w.t sebelum mata terpejam, sebelum jantung berhenti berdetak, sebelum jasad hanya menjadi jasad. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun. Bersahabatlah dengan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Hal ini kerana jika kita bersahabat dengan peminum arak kita akan berbau arak, jika bersahabat dengan tukang kayu kita akan terlekat habuknya, tetapi jika kita bersahabat dengan penjual minyak wangi pasti kita akan berbau wanginya.

Dengan adanya Pendidikan Akidah Islami di sekolah rendah, manusia akan terhindar daripada kufur, syirik, dan murtad. Ketahuilah bahawa Allah s.w.t akan mengampun semua dosa sekiranya kita bertaubat. Tetapi, sebesar-besar dosa adalah syirik iaitu menyekutukan Allah dan dosa syirik tidak akan diampun oleh Allah s.w.t. Oleh itu, amalan-amalan dan kata-kata yang boleh membawa kepada syirik dan penyekutuan kepada Allah s.w.t. perlu dihindari. Betapa pentingnya akidah Islam kerana dengannya kita menerima kurniaan Allah s.w.t dan bersyukur dengan segala nikmatnya termasuk nikmat iman dan Islam. Bayangkanlah tanpa akidah Islam, murid-murid sekolah rendah yang masih lagi tercari-cari karakter dan peribadi diri ini akan mudah terpengaruh dengan gejala murtad yang kian menular dalam masyarakat hari ini. Mereka yang diibaratkan bagai kain batik yang masih kosong ini perlu decanting dengan hiasan-hiasan dan corak-corak yang baik. Jika baik corak dan hiasannya maka eloklah batik tersebut. Begitulah juga sebaliknya.

Pendidikan Akidah juga adalah sumber segala kesempurnaan. Ianya merangkumi semua ilmu yang ada di dunia ini. Ia menjadi asas kepada ilmu Akhlak, Feqah, Usuluddin, serta ilmu Sains, Matematik, Kajian Tempatan, dan sebagainya. Semua ilmu ini adalah lahir daripada ilmu akidah. Tanpa ilmu akidah manusia akan sukar untuk menerima segala ilmu lain kerana segala-galanya akan kembali kepada ilmu akidah yang menyatakan bahawa Allah s.w.t adalah pencipta sekalian alam yang kita diami ini. Jelaslah bahawa ilmu akidah terlalu penting dalam pendidikan rendah kerana menjadi asas kepada pembentukan iman mereka kerana “ Awwaluddin ma’rifatullah”. Asas kepada agama Islam adalah mengenali Allah s.w.t.

Tuesday, August 16, 2011

..KELEBIHAN PENGGUNAAN BUKU TEKS..

PERTAMA : Adalah sebagai bahan bantu mengajar yang membantu guru dalam proses bagi merancang organisasi dan maklumat serta aktiviti dalam pnp..

KEDUA : Bahan @ sumber rujukan utama murid sekolah rendah yang membolehkan murid memperoleh bahan khusus dalam bentuk yang telah disatukan.

KETIGA : Sumber maklumat yang seragam.Memudahkan guru mengajar kerana semua murid mempunyai sumber pelajaran yang sama.

KEEMPAT : Mempunyai gambar, graf, peta, dan bahan-bahan ilustrasi yang memudahkan pemahaman murid.

KELIMA : Mempunyai bahan-bahan pengajaran seperti latihan dan soalan yang meringankan beban guru dalam penyediaan bahan pnp.

KEENAM : Soalan-soalan peperiksaan dibuat berdasarkan buku teks dan memudahkan murid mengulangkaji semua isi pelajaran dalam buku teks.

KETUJUH : Dibuat berdasarkan sukatan pelajaran dan huraian sukatan pelajaran yang mengehadkan tahap penguasaan pelajar mengikut darjah.

KELAPAN : Tidak membebankan ibubapa untuk membeli buku teks kerana diberi percuma oleh kerajaan.

UNTUK LEBIH BAIK GORENG LAGI NOTA-NOTA INI...SELAMAT BERUSAHA!!!