klik sini

Friday, August 19, 2011

PENDEKATAN HUMANISTIK DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

PENDEKATAN HUMANISTIK DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Menurut Carl Rogers, setiap individu mempunyai keinginan semulajadi untuk belajar ( Choong Lean Keow, 2011). Oleh itu Carl Rogers percaya bahawa setiap individu mempunyai kecenderungan dan hasrat untuk mencapai kesempurnaan dirinya. Dalam hal ini guru dapat memanfaatkan pendekatan ini dengan cara membentuk suasana bilik darjah yang kondusif untuk murid-murid belajar. Guru boleh membentuk suasana bilik darjah yang kondusif dengan menyediakan persekitaran kelas yang selamat dan tenang agar murid dapat belajar dengan selesa. Seorang guru boleh menjalankan pelbagai jenis aktiviti pengajaran dan pembelajaran agar murid-murid berasa seronok ketika berada dalam bilik darjah tersebut tidak merasa tertekan atau terbeban apabila mengikuti pembelajaran. Guru perlu peka terhadap aspek perkembangan diri setiap murid dengan memastikan keperluan asas wujud dalam persekitaran bilik darjah khususnya. Dalam hal ini guru perlu mengambil kira tentang aspek bilik darjah, sama ada bilik darjah tersebut selesa atau tidak.

Selain itu, guru perlu memberikan kebebasan kepada murid-murid untuk memilih apa yang ingin mereka pelajari semasa berada dalam bilik darjah. Hal ini bersesuaian dengan pendapat yang dinyatakan oleh Rogers bahawa pembelajaran yang bersifat signifikan hanya akan berlaku kandungan matapelajaran adalah relevan dengan minat murid-murid. Guru perlu memberi ruang kepada murid-murid untuk mengembangkan potensi mereka ke tahap yang maksimum. Dalam hal ini, guru boleh memberikan peluang kepada muriduntuk memilih pembelajaran yang mereka mahukan sesuai dengan minat murid. Murid-murid lebih mudah memahami sesuatu pelajaran sekiranya mereka berminat dan ingin tahu tentang perkara tersebut. Contohnya, murid yang minat melukis akan memberikan tumpuan sepenuhnya apabila guru lukisan mengajar di dalam kelas. Secara tidak langsung minat dan sifat ingin tahu dalam diri murid tersebut menyebabkan murid itu mudah menerima dan memahami apa yang telah disampaikan oleh gurunya. Pembelajaran melalui proses kebebasan dapat memberi peluang kepada murid untuk membuat penilaian kendiri terhadap kemampuan diri sendiri.

Menurut Rogers juga, murid-murid lebih mudah menerima pembelajaran apabila ancaman luaran berada pada tahap minimum (Noriati Arashid & Boon Pong Ying, 2009). Di sini bermakna guru bukan sahaja menyediakan keadaan bilik darjah yang tenang dan selesa, tetapi juga menyediakan keadaan bilik darjah yang selamat kepada murid-murid. Keselamatan bilik darjah tersebut termasuklah keadaan bilik darjah. Susunan meja dan kerusi yang teratur akan mempengaruhi minat murid-murid untuk belajar. Kebersihan dan keceriaan kelas juga mempengaruhi emosi murid-murid. Keadaan bilik darjah yang bersih, ceria dan selamat membolehkan murid dapat menjalankan sebarang aktiviti dengan rasa yang selesa dan tenang. Guru juga penting untuk mengambil kira aspek keselamatan pelajar ketika mereka berada dalam bilik darjah atau luar bilik darjah tersebut. Contohnya tidak ada gangguan atau halangan daripada mana-mana individu yang boleh menyebabkan murid tersebut berasa takut untuk belajar seperti gangguan daripada rakan-rakan lain yang suka membuli atau sebagainya.

Disamping itu, dalam pendekatan humanistik Carl Rogers juga guru boleh mengaplikasikan cara pembelajaran dan pengajaran dengan merancang pelbagai jenis aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang sesuai kepada murid-murid. Rogers menyatakan seorang guru perlu menjelaskan objektif pembelajaran dan membekalkan sumber pembelajaran yang sesuai (Mok Soon Sang, 2009). Guru boleh memanfaatkan cara ini ketika melaksanakan pengajaran di dalam kelas. Murid perlu tahu apa yang mereka perlu capai dalam sesuatu pembelajaran yang dilaksanakan oleh guru agar mereka mudah untuk mengikuti pembelajaran dalam bilik darjah tersebut. Pada hakikatnya, guru perlu bijak untuk menghidupkan suasana pembelajaran dengan mempelbagaikan kaedah pengajaran. Guru juga perlu membuat refleksi diri tentang kelemahan semasa proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan. Pembelajaran yang menyeronokkan di dalam bilik darjah akan menimbulkan minat dan motivasi dalam diri murid untuk belajar. Sebagai contoh, guru menggunakan bahan bantu mengajar yang menarik ketika menjalankan proses pengajaran di dalam bilik darjah. Bahan bantu mengajar yang sesuai dapat membantu murid-murid untuk memahami pelajaran dengan cepat dan mudah. Dalam pendekatan humanistik, guru juga perlulah memupuk nilai penghargaan kendiri dalam kalangan murid-murid serta memberi motivasi dan peneguhan yang sesuai supaya mereka sentiasa bersungguh-sungguh dalam mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran. Dalam hal ini guru bukan sahaja bertindak sebagai menyampaikan ilmu semata-mata malahan guru juga bertindak untuk memberikan motivasi kepada murid-murid. Abraham Maslow menganggap motivasi sebagai sesuatu yang kompleks, dimana tingkah laku luaran yang diperlihatkan oleh manusia. Beliau juga menganggap, individu akan terus bermotivasi oleh kerana sesuatu matlamat ( Choong Lean Keow, 2011). Matlamat ini dianggap sebagai keperluan yang perlu dipenuhi oleh semua manusia tanpa mengambil kira budaya, persekitaran dan perbezaan generasi. Motivasi mampu merangsang dan membantu seseorang murid untuk mencapai matlamat pembelajaran. Motivasi juga mampu membuatkan murid aras rendah berkeyakinan untuk meningkatkan perkembangan kognitifnya. Dalam pendekatan humanistik Rogers juga, guru haruslah berkongsi perasaan dan idea dengan murid-murid. Guru perlu berkongsi perasaan, idea dan fikiran dengan pelajar selain cuba berkomunikasi menggunakan pendekatan dua hala. Komunikasi yang baik antara guru dan murid dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih berkesan dan hubungan antara guru dan murid menjadi lebih baik. Perkongsian perasaan dan idea akan memudahkan guru untuk memahami murid-muridnya. Guru juga mudah menyelesaikan masalah-masalah yang wujud di dalam bilik darjah yang berkaitan dengan masalah murid. Komunikasi dua hala antara guru dan murid juga boleh mewujudkan suasana yang penyayang di dalam bilik darjah. Murid-murid tidak akan berasa tertekan dan mereka juga akan lebih menghargai guru mereka.Komunikasi yang baik dan berkesan dapat dijelmakan dalam pelbagai cara seperti cara bertutur, penggunaan bahasa badan, penulisan, dan juga melalui penggunaaan alat-alat tertentu seperti komputer. Perkongsian perasaan membolehkan situasi bilik darjah mudah dikawal oleh guru kerana guru mengetahui di mana kelemahan seseorang murid tersebut. Hal ini memudahkan guru tersebut mengambil langkah mengawal dan menyelesaikan masalah murid tersebut. Setiap orang pasti akan menghadapi kegagalan, namun kegagalan tidak bermaksud kekalahan. Guru haruslah membimbing muridnya untuk membetulkan kesilapan dan mengajar tanpa rasa jemu.Contohnya dalam bilik darjah, guru perlu memotivasikan murid-murid dengan menunjukkan sesuatu yang menarik sebelum memulakan sesi pembelajaran agar mereka dapat memberikan tumpuan yang baik. Motivasi juga boleh diberikan dalam bentuk lain contohnya dengan memberikan ganjaran. Pelbagai bentuk ganjaran boleh diberikan seperti hadiah, pujian, pelepasan dari tugas harian dan sebagainya. Selain itu, guru boleh memupuk nilai-nilai motivasi diri melalui bimbingan supaya murid dapat memahami diri, menerima diri, melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti sosial, dan seterusnya memperkembangkan potensi diri sendiri. Ahli humanistik berpendapat bahawa kriteria pertama dalam menentukan kejayaan dalam proses pengajaran dan pembelajaran ialah kepuasan kanak-kanak atau murid-murid terhadap dirinya sendiri. Kepuasan seseorang murid dalam diri sendiri akan meningkatkan keyakinan mereka dalam melakukan sesuatu perkara. Contohnya seorang guru yang mengajar murid tahun satu perlu menyediakan soalan-soalan latihan yang sesuai dengan aras murid tersebut agar mereka dapat menjawab soalan tersebut. Jika mereka mendapat soalan yang susah dan tidak dapat menjawab soalan tersebut, mereka akan menganggap bahawa diri mereka bodoh dan seterusnya menyebabkan keyakinan dalam diri mereka rendah. Perasaan rendah diri boleh membawa kepada terhapusnya potensi diri dalam seseorang murid. Mereka akan sentiasa berasa gelisah dan bimbang kerana tidak dapat menjawab soalan yang diberikan oleh guru setiap kali guru mengajar di dalam kelas. Sikap intrinsik akan mempengaruhi kepercayaan murid-murid tentang kebolehan diri untuk meningkatkan pencapaian. Disamping itu, guru juga boleh memanfaatkan pendekatan humanistik dalam pembelajaran dengan cara memberi perhatian kepada potensi diri setiap pelajar mereka khususnya melibatkan bakat dan kebolehan terpendam. Guru boleh menjalankan pelbagai pertandingan untuk mencungkil bakat-bakat yang ada dalam diri murid-murid. Contohnya pertandingan melukis. Dengan mengajurkan pertandingan ini, guru dalam melihat murid-murid yang berbakat dan seterusnya menggalakkan mereka untuk mengasah bakat semulajadi yang mereka ada tu. Murid-murid yang mengikuti bidang yang mereka minati akan berkebolehan untuk berjaya dalam bidang tersebut. Pendekatan humanistik menekankan sifat semulajadi individu untuk belajar. Dalam erti kata lain perasaan ingin belajar dalam diri individu di dorong oleh keinginan semulajadi murid tersebut. Dalam hal ini, murid-murid tersebut akan mempunyai kawalan atas pembelajaran mereka masing-masing. Di sini guru memainkan peranan yang penting. Guru perlu menjadi seorang fasilitator dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru hanya memainkan peranan sebagai pembimbing kepada pelajar. Kaedah ini amat sesuai kerana kaedah ini lebih berkonsepkan kepada pendekatan pembelajaran berpusatkan pelajar. Sebagai fasilitator, guru perlu memainkan peranan dengan membimbing murid-murid agar pembelajaran berjalan dengan lancar. Sebagai contoh, ketika guru hendak mengajar karangan di dalam kelas, guru hanya perlu menyediakan gambar sebagai panduan kepada murid-murid tersebut. Melalui gambar tersebut murid boleh menghasilkan sebuah karangan dan seterusnya dapat memperkembangkan kemahiran dalam diri murid. Guru memberikan kebebasan kepada pelajar untuk menilai karangan mereka sendiri berdasarkan daripada skema yang ditetapkan oleh guru tersebut. Seorang guru juga perlu bersikap prihatin dan memahami setiap murid-muridnya. Guru perlu menangani kesilapan yang dilakukan pelajar dengan cara yang lebih proaktif melalui komunikasi secara peribadi dengan murid yang berkaitan tanpa melibatkan kelompok besar di dalam bilik darjah. Dengan cara ini pelajar tidak akan berasa malu di hadapan kawan-kawan lain. Cara ini juga dapat mengelakkan murid-murid daripada berasa rendah diri. Disamping ituguru juga perlu mengambil berat akan aspek perbezaan individu khususnya isu sensitif yang melibatkan perbezaan latar belakang dan kepelbagaian kaum murid-murid dalam setiap sesi pengajaran dan pembelajaran. Contohnya guru tidak boleh merendah-rendahkan kaum lain di hadapan murid-murid yang berbilang kaum agar tidak timbul masalah-masalah dalam kelas tersebut. Sesetengah murid sangat sensitif dan merasa rendah diri apabila kaum mereka di rendah-rendahkan. Hal ini seterusnya akan mempengaruhi kepuasan intrinsik murid-murid tersebut dan keyakinan diri rendah. Selain daripada itu, seorang guru juga boleh memanfaatkan pendekatan humanistik dengan cara menggalakkan pelajar mengambil bahagian dalam kerja kumpulan terutamanya dalam pembelajaran koperatif dengan tujuan membina kemahiran sosial dan afektif. Sebagai contoh guru boleh membahagikan murid-murid kepada beberapa kumpulan kecil untuk perbincangan kerja kumpulan setiap minggu. Murid-murid akan berbincang bersama ahli kumpulan untuk menyelesaikan sesuatu masalah tersebut. Murid-murid akan didedahkan kepada perbincangan dan mereka juga dapat belajar sebagai satu pasukan. Murid-murid dapat berkongsi idea dengan kawan-kawan lain untuk menjawab soalan tersebut. Murid-murid juga dapat belajar untuk saling berkerjasama antara ahli kumpulan. Di dalam kelas juga, guru perlu mengajar murid-murid dengan penuh kasih sayang. Dalam hirarki keperluan Maslow, keperluan kasih sayang berada pada aras ketiga ( Choong Lean Keow, 2011). Guru hendaklah bersifat penyayang untuk memenuhi keperluan kasih sayang murid. Guru yang melayan murid-murid dengan sikap kasar menyebabkan murid akan berasa kecil hati dan tidak bersemangat untuk belajar. Guru juga perlu memenuhi keperluan asas murid-muridnya dahulu sebelum memulakan pengajaran. Guru perlu mengenal pasti setiap kekurangan keperluan asas semasa awal sesi pengajaran. Hal ini penting supaya murid merasa berminat dan tidak merasa bosan ketika sesi pengajaran dijalankan. Hal ini bersesuaian dengan hierarki keperluan Maslow. Guru hendaklah menerima murid tanpa syarat mengikut keupayaan dan kebolehan mereka. Guru perlu faham bahawa aras kebolehan dan kemampuan seseorang murid tidak semuanya sama. Sesetengah murid mudah menerima dan memahami sesuatu pelajaran sementara sesetengah pula sukar menerima sesuatu pelajaran yang disampaikan oleh guru. Kesimpulannya, guru haruslah memainkan peranan penting dan memastikan mereka memilih kaedah-kaedah dan pendekatan yang paling sesuai bagi memastikan murid-murid dapat belajar dan menerima pelajaran yang disampaikan dengan berjaya dan berkesan.

No comments:

Post a Comment